Sarawak mungkin jadi negeri pertama laksana dos penggalak vaksin COVID-19 - Khairy

Astro Awani
September 23, 2021 08:21 MYT
Jelas Khairy, KKM sedang menunggu tarikh bagi mulakan dose penggalak (booster dose) kepada golongan yang berisiko tinggi.- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sarawak mungkin akan menjadi negeri pertama yang akan melaksanakan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, itu antara empat strategi yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengurangkan kes COVID-19 di negeri itu yang mencatatkan peningkatan sejak beberapa hari lalu.
‘’Kita sedang menunggu tarikh bila kita boleh mulakan booster shot (dos penggalak) kepada golongan yang berisiko tinggi.
‘’Dan mungkin Sarawak akan jadi negeri pertama kita akan mulakan booster shot disebabkan perkara yang sedang berlaku (peningkatan kes positif COVID-19),’’ katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling berhubung strategi KKM menangani peningkatan peratusan kes harian dan kematian akibat COVID-19 di Sarawak.
Selain itu tambahnya, tiga lagi strategi ialah meningkatkan operasi kenal pasti, ujian, kesan, kuarantin dan sokongan (FTTIS), mempercepatkan vaksinasi ke atas remaja, dan mengambil langkah sekatan pemutus litar atau circuit breaker yang pantas dan cepat di kawasan yang berlakunya peningkatan kes yang tinggi.
Sehingga kini, Sarawak terus melaporkan kes positif harian empat angka dengan 1,766 kes dilaporkan pada Khamis.
Ini menjadikan jumlah kes kumulatif di negeri Bumi Kenyalang itu kepada 190,609 kes.
#COVID-19 di Sarawak #vaksinasi di Sarawak #kes harian di Sarawak #dos penggalak di Sarawak