BETONG: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak telah menerima senarai 92 projek infrastruktur bernilai RM1.092 bilion daripada kerajaan Persekutuan.

Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata senarai itu diterima susulan keputusan kerajaan Persekutuan memberi kuasa kepada Sarawak dan Sabah melaksanakan projek pembangunan bernilai bawah RM50 juta, awal tahun ini.

Daripada jumlah keseluruhan projek, 87 diterima Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan lima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat projek pembangunan di Spaoh, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua jabatan itu telah diiktiraf sebagai jabatan teknikal oleh kerajaan Persekutuan baru-baru ini yang membolehkan mereka menguruskan projek tersebut tanpa perlu merujuk kepada ibu pejabat masing-masing di Putrajaya.

Uggah, yang juga Timbalan Premier Sarawak, berkata adalah penting bagi JKR dan JPS untuk melaksanakan projek mengikut jadual memandangkan Sarawak telah meminta autonomi pelaksanaan daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang menyiapkan keperluan tenaga kerja JKR di semua bahagian di negeri ini bagi menampung tanggungjawab tambahan itu.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan di Miri, Selasa depan, untuk mendapatkan maklum balas daripada pejabat bahagian JKR dan menilai kesediaan mereka untuk melaksanakan projek itu.

"Objektif kami sangat jelas... kami mahu menyiapkan projek seperti yang dijadualkan. Jika kita dapat mencapainya dengan jayanya, ia akan membuktikan kita mempunyai kebolehan dari segi tenaga kerja dan pengetahuan teknikal," katanya.

-- BERNAMA