Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya memberikan tumpuan kepada saringan terhadap calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukan ahli keluarga calon yang dikemukakan kepada suruhanjaya itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya kini sedang menjalankan proses saringan terbabit.

Malah, SPRM juga katanya tidak akan memperincikan bentuk syor mahupun cadangan yang akan dikembalikan semula kepada parti yang terlibat.


"Kita (SPRM) sudah nyatakan apa-apa saringan yang kita buat adalah rahsia dan kita akan maklumkan kepada parti berkenaan nama-nama tersebut.

"Ini bukan siasatan, ini cuma saringan. Ia dalam bentuk cadangan dan kita akan maklumkan kepada parti yang hantar nama itu," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR) 2017 di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan yang bertanyakan sama ada saringan yang dilakukan SPRM terhadap calon turut dilakukan kepada ahli keluarga.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) itu telah menghantar sebahagian senarai nama calon PRU14 kepada SPRM untuk saringan.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata senarai nama tambahan akan dikemukakan kepada suruhanjaya itu setelah pihaknya membuat keputusan berhubung perkara itu.