Kerajaan negeri Terengganu mengarahkan semua hotel di negeri itu agar menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 kepada para pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata saranan itu sebagai langkah pencegahan awal bagi menangani wabak berkenaan.

Jelasnya, langkah yang sama juga akan dilakukan di semua pusat peranginan dan hotel bajet di negeri itu.

"Industri perhotelan juga dinasihatkan untuk menjalankan thermal scanning bagi memastikan pelanggan mereka bebas daripada simptom yang berkait dengan COVID-19," katanya.

Beliau berkata para pelancong yang ingin berkunjung ke pulau-pulau peranginan di negeri itu agar tidak bimbang.

Jelasnya, pihaknya telah menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 di setiap pintu masuk utama.