KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen dikesan positif COVID-19 hasil keputusan ujian saringan Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang dilakukan di luar Kompleks Parlimen pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Manakala, seorang senator dan 25 kakitangan parlimen juga didapati positif virus itu semasa saringan di Kompleks Parlimen bagi tempoh sama.

Mereka adalah antara sejumlah 1,801 individu yang disaring di lokasi berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua individu yang positif COVID-19 telah lengkap vaksinasi dan 15 daripada mereka adalah kes disahkan COVID-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei 2021 hingga 1 September 2021.

Manakala 13 individu pula baharu sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan 10 sehingga 11 September 2021.

"Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi dengan CT value atau nilai kitaran ambang RT PCR di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan CT value di antara 21.95 sehingga 38.23.

"Ujian PCR genotyping assay yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah varian Beta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Bagi mengesahkan jenis varian ini, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah mula menjalankan penjujukan genom COVID-19.

Susulan itu, 13 individu yang kali pertama disahkan positif itu  tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen dan mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO).

"Siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenalpasti kontak rapat," tambah Dr Noor Hisham. 

Manakala, 15 individu yang pernah disahkan COVID-19 sebelum ini akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat di kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan.

"Buat masa ini, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera setelah dimuktamadkan," ujarnya.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas akan diadakan bermula 13 September hingga 26 Oktober 2021 bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur.