SUBANG JAYA: Prasarana Malaysia meletakkan sasaran sejuta kilometer (KM) bagi menilai laporan indeks prestasi utama (KPI) terhadap mutu perkhidmatan pengangkutan syarikat berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, usaha itu merupakan satu pendekatan untuk menilai sejauh mana tren berkenaan mampu bergerak tanpa mengalami sebarang kerosakan mahupun gangguan teknikal.

Sasaran itu membabitkan kesemua laluan tren menjelang suku ketiga tahun 2026.

"Maksudnya, lebih banyak tren itu bergerak tanpa kerosakan dan masalah teknikal maka itu adalah petanda yang baik.

"Sasaran sejuta Kilometer (KM) diletakkan bermakna kerosakan hanya berlaku selepas sejuta KM perjalanan bagi setiap tren tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Warga Rapil Rail di sini pada Rabu.

Tambahnya lagi, beliau menyedari wujud kekerapan gangguan teknikal melibatkan perkhidmatan tren khususnya bagi Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

"Ketika ini kita alami situasi tidak begitu memuaskan misalnya bagi laluan Kelana Jaya di mana kerosakan berlaku pada kadar 150,000km bagi perjalanan tren tersebut.

"Ini satu angka yang tidak memuaskan, itu sebab sasaran kita tinggi dan sudah pasti ini mengambil masa untuk capai sasaran tersebut," katanya lagi.

Sistem yang dikenali sebagai 'Mean Kilometres Between Failures' (MKBF) itu juga penting yang akan dipaparkan kepada awam secara terbuka.

Meskipun perkhidmatan mengalami gangguan teknikal selama 5 minit maka ia tetap dinilai di bawah MKBF.

Menurutnya lagi, perkembangan perkhidmatan pengangkutan itu juga akan dibuat secara umum mulai Mei yang akan dimuat naik menerusi beberapa platform termasuk laman sosial Prasarana.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) menetapkan KPI kepada pengurusan Prasarana Malaysia bagi menaik taraf sistem pengangkutan awam negara.

Prasarana juga diwajibkan membentangkan laporan mereka setiap minggu membabitkan perkhidmatan tren, bas, lif, dan eskalator yang sudah dibaiki dan rosak.