Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan sebagai Elaun Penghargaan Bulanan sebanyak RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, elaun berkenaan merupakan tanda penghargaan pada usaha dan dedikasi berkenaan dalam memainkan peranan penting membina Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatu padukan negara.

“Elaun Penghargaan Sasterawan Negara ini diharapkan dapat membantu menjamin kebajikan, memastikan kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada semua Sasterawan Negara agar terus menyumbang idea pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat.

“Pemberian elaun penghargaan daripada Kementerian Kewangan ini diharapkan dapat menjamin kesinambungan mutu hasil seni dengan cemerlang dan menunjukkan penekanan terhadap sastera dan bahasa daripada semua lapisan masyarakat, termasuk daripada sebuah kementerian yang biasanya tidak terlibat secara langsung dengan bidang sastera yang istimewa ini,” katanya dalam majlis khas di sini hari ini.

Mereka yang menerima elaun tersebut ialah Datuk Seri Dr. A. Samad Said, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr. Mohd Anuar Rethwan (Anuar Ridhwan), Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr. Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Turut hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memuji tindakan Kementerian Kewangan atas pemberian elaun kepada para sasterawan itu.

Menurut beliau, pemberian elaun itu seiring hasrat kerajaan yang tidak mengetepikan usaha pemerkasaan pelbagai bidang termasuk sastera ketika negara memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

“Ini memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan sementara menumpu perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, tidak meninggalkan malah tetap mempertahankan keutuhan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi juga mengangkat martabat sastera negara kita supaya dapat dinikmati khalayak,” ujar Anwar lagi.