Sasterawan Norhisham Mustafa meninggal dunia

Sinar Harian
November 23, 2018 12:11 MYT
Allahyarham akan disemadikan selepas Isyak malam ini. - Foto Sinar Harian
Sasterawan Kelantan, Nurhisham Mustafa, 68, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, jam 2.14 petang tadi.
Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) akibat kegagalan buah pinggang dan paru-paru berair.
Adiknya, Mukhtar Mustafa, 63, berkata, pihak hospital memaklumkan ahli keluarga agar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas arwah mula tidak sedarkan diri sejak dua hari lalu.
“Pihak hospital memanggil semua ahli keluarga pada jam 2 petang tadi selepas tamat waktu melawat bagi memaklumkan keadaannya yang sudah nazak.
“Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Pauziah Mah Mad Zain, 62, dan tiga anak mereka termasuk saudara terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Pauh, Pasir Mas sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam berhampiran selepas Isyak malam ini.
“Kami reda semoga arwah dicucuri rahmat dan terima kasih di atas doa dan kunjungan sahabat sebelum ini,” katanya.
Sinar Harian pada 21 November lalu melaporkan keadaan Allahyarham yang tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
#Hospital #Hospital Raja Perempuan Zainab #Hospital Universiti Sains Malaysia #keluarga #meninggal dunia #nurhisham mustafa #pauziah mah mad zain #sasterawan