KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar percaya bahawa suatu hari nanti hukuman mati akan tidak lagi diamalkan di negara ini.

Beliau yakin, generasi akan datang akan lebih memahami dan bertimbang rasa, menyedari bahawa tidak semua jenayah berat perlu dihukum dengan menamatkan riwayat seseorang manusia.

“Saya teringat satu cerita, ada seorang menteri atau pembesar negara yang diberi tanggungjawab menandatangi waran hukuman gantung seseorang pesalah, katanya 'walaupun saya berhak untuk gantung seseorang tapi saya tak mahu ‘menjadi Tuhan’.

“Akhirnya menurut riwayat tersebut, sampai beliau tamat perkhidmatannya, dia tidak pernah turunkan satu pun tandatangan (ke atas waran hukuman mati seseorang).”

Ketika ini katanya, masih ramai yang melihat bahawa kesalahan membunuh misalnya harus dihukum balas dengan mati, kerana itu yang dirasakan paling setimpal.

Tapi ujar Wan Junaidi lagi, zaman akan berubah, kerajaan akan bertukar dan datangnya generasi dengan pemikiran baharu yang melihat hukuman mati ini tidak mendatangkan hasil sebenarnya dalam menghukum ‘dosa besar’ yang dilakukan seseorang.

“Siapalah kita untuk menghakimi sedemikian rupa,” ujarnya.

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI khas dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini:

Satu hari nanti, hukuman mati akan terhapus di negara ini - Wan Junaidi