KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan pertambahan satu kes positif COVID-19 di Kuching.

Kes ke-1042 ini dikesan menerusi saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) selepas kes mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

Menerusi kenyataan pada Selasa, kes mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 November 2020 selepas dilapor mengalami gejala sejak 12 November 2020.

“Kes diarah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 16 November 2020 dan disahkan positif pada hari sama.

“Siasatan lanjut mendapati kes merupakan kontak rapat kepada kes 1040 sebagai rakan sekerja dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau mengunjungi kawasan berisiko tinggi di dalam negara,” kata kenyataan itu.

Justeru, siasatan lanjut dan pengesanan kontak sedang dijalankan dan diklasifikasikan sebagai jangkitan tempatan.

Antara lain, Lundu kembali dikategorikan sebagai zon hijau COVID-19.

Ia selepas daerah itu tidak merekodkan sebarang pertambahan kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Setakat ini, daerah Kuching kekal dikategorikan sebagai zon merah dengan jumlah kumulatif kes jangkitan tempatan sebanyak 101 kes dalam tempoh 14 hari lalu.

“Manakala daerah Miri dan Lawas kekal berstatus kuning serta 37 daerah lain kekal sebagai zon hijau negeri itu,” tambah kenyataan itu.