KUALA LUMPUR: Berikutan situasi samasa jangkitan COVID-19 di Selangor yang semakin meningkat, sebuah lagi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diwujudkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani situasi pandemik COVID-19 di negeri tersebut ketika ini.

"Sehingga kini, KKM mengesahkan purata kes harian di negeri Selangor dalam tempoh 14 hari kebelakangan menunjukkan trend peningkatan secara mendadak dengan jumlah kluster yang semakin meningkat.

"Berdasarkan situasi ini, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu lagi Hospital Medan ATM di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya dalam kenyataan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Selangor terus melaporkan kes harian tertinggi COVID-19 dengan merekodkan 4,152 kes hari ini, daripada 8,868 kes baharu seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Hospital Medan ATM juga akan diwujudkan di Melaka bagi menyokong sistem perkhidmatan kesihatan di negeri tersebut ketika ini.

Katanya ATM akan berbincang lebih lanjut dengan KKM untuk memperincikan semua keperluan bagi menentukan pembukaan hospital medan ATM di negeri itu dalam masa terdekat.

"ATM memberi jaminan sentiasa komited dan bersiap siaga jika ada keperluan untuk membina hospital-hospital medan di negeri yang memerlukan khidmat sokongan kesihatan dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi," katanya.

Mengulas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata empat lagi lokaliti di Sabah dikenakan kawalan berkenaan mulai Sabtu ini hingga 23 Julai.

Ia melibatkan Kampung Mangkubau Laut, Pitas; Ladang Sabah Mas, Division Segama, Lahad Datu; Felda Umas 1, 3 4, Kalabakan dan Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu. 

Sementara itu, tiga lokaliti dalam Mukim Sura, Dungun, Terengganu turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama melibatkan Rumah Awam Kos Rendah Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM.

Di Perak, PKPD turut dikenakan di Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang, Batang Padang bagi tempoh yang sama.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah yang sepatutnya tamat esok (9 Julai) dilanjutkan sehingga 23 Julai.

Beliau berkata dua PKPD di Johor yang sepatutnya tamat minggu depan ditamatkan awal mulai 11.59 malam esok berikutan kes yang terkawal iaitu di asrama pekerja warga asing Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak dan di asrama pekerja warga asing serta kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat.

Dua lagi PKPD di Sabah iaitu di Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu dan Flat Indah Jaya, Sandakan serta di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah ditamatkan mengikut jadual mulai 11.59 malam esok.

Memperincikan mengenai operasi pematuhan, Ismail Sabri berkata seramai 556 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, semalam.

"Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan juga telah melaksanakan 90,303 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara termasuk pemeriksaan ke atas kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja.

"Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 56 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA