PARIS: Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di hadapan sebuah hospital di Paris pada Isnin.

Menurut laporan Reuters, sumber polis memaklumkan, penyerang tersebut kemudiannya bertindak melarikan diri dengan motosikal.

Sumber itu turut memberitahu, individu yang cedera itu kini dirawat di hospital berkenaan iaitu hospital Henry Dunant, yang juga merupakan pusat vaksinasi COVID-19.

Pihak polis berkata, sekatat ini motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Stesen televisyen BFM pula melaporkan, mangsa yang terbunuh merupakan seorang lelaki sementara yang cedera adalah seorang wanita yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di hospital tersebut.

Pusat vaksinasi di hospital itu dikatakan sedang beroperasi ketika berlakunya kejadian tembakan.

Media tempatan melaporkan, puluhan anggota polis kini sedang mengawasi kawasan terbabit.