ALOR SETAR: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Keda Sungai Tengas di Mukim Selama dalam daerah Bandar Baharu dekat Kulim bagi menempatkan 18 mangsa banjir daripada empat keluarga.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata PPS itu, yang dibuka pada jam 8 malam, menempatkan mangsa banjir dari Mukim Selama.

"Hujan lebat lebih dua jam sejak 2 petang telah menyebabkan air sungai melimpah sehingga berlaku limpahan menyebabkan beberapa rumah di kawasan Mukim Selama, Mukim Relau dan Mukim Sungai Batu dinaiki air.

"Setakat ini, hanya satu PPS dibuka di Mukim Selama. Bagi Mukim Relau, kawasan yang terjejas melibatkan beberapa rumah di Kampung Paya Semambu dan Kampung Kilang Batu manakala di Mukim Sungai Batu, kawasan yang terjejas ialah Kampung Sungai Tengas Ilir," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata Mukim Selama merangkumi Kampung Sungai Hitam Dalam, Kampung Sungai Hitam Luar, Kampung Sungai Tengas dan Kampung Terap Dalam.

Katanya seramai 83 orang daripada 25 keluarga terjejas akibat banjir di ketiga-tiga mukim namun tidak semua mangsa dipindahkan ke PPS kerana air di kawasan rumah mereka sudah surut.

-- BERNAMA