KUBANG PASU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sawah yang ditenggelami air banjir sedalam kira-kira 1.5 meter di Kampung Kubu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Omar Ismail, 22, dikatakan sedang memukat ikan dengan bapa mentuanya sebelum hilang dihanyutkan arus.

Menurut saksi, Mat Isa Abdul Hamid, 51, terdahulu mangsa dari Kampung Bukit Berangan di sini, cuba berenang untuk mengambil pukat yang hanyut.

"Ketika itu arus air yang melimpah dari sungai masuk ke bendang agak deras. Mungkin disebabkan itu dia keletihan dan tenggelam sebelum hilang dihanyutkan arus," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, sebaik tiba di lokasi, pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan sebuah unit bot aluminium.

Wan Mohd Hamizi berkata, operasi SAR dilakukan di lokasi terakhir mangsa dilihat terapung sehingga jarak 150 meter dari lokasi mangsa dilihat hanyut.

Katanya, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut melakukan selaman namun arus deras menyukarkan operasi pencarian.

"Setakat ini kita sudah melakukan enam selaman di lokasi tersebut dan juga melibatkan pencarian di permukaan, namun setakat ini kita belum menjumpai mangsa.

"Operasi selaman kita tangguhkan dahulu, tetapi bagi operasi pencarian di permukaan kita akan teruskan juga pada malam ini," katanya.