KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa pengurangan pemberian subsidi itu tidak menjejaskan semua lapisan masyarakat, sebaliknya hanya membabitkan inisiatif kadar elektrik dan haji bagi golongan T20.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal tindakan segelintir pemimpin politik menggerakkan kempen mendakwa kerajaan mengurangkan pemberian subsidi kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mempersoal kewajaran kempen terbabit, selain menegaskan pendekatan itu terpaksa dibuat bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat dalam golongan B40 dan M40.

"Saya kurang faham, mana kurangnya subsidi? Kita kurangkan (subsidi elektrik dan haji) bagi golongan kaya, bukan untuk rakyat tetapi hanya bagi golongan maha kaya.

"(Pemberian subsidi) tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan 90 peratus tidak terkesan. Malah, kadar elektrik bagi industri sederhana kecil (IKS) dan makanan tidak dinaikkan.

"Kenapa nak politikkan isu ini? Kita nak jadi jaguh siapa? Nak kurangkan subsidi untuk orang kaya pun tak boleh? Nak ambil RM50-RM60 juta dari Tan Sri Syed Mokhtar pun tak boleh? Ini apa punya dasar sebegini?

"Saya terpaksa ambil dari orang kaya supaya tidak bebankan orang miskin," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ambil daripada orang kaya supaya yang miskin tak terbeban - PM


Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin mengenai pendekatan pengurangan pemberian subsidi yang membebankan rakyat.

Dalam sesi itu juga Anwar sekali lagi menegaskan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan sepenuhnya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Anwar juga menegaskan beliau telah menggesa BNM agar meneliti juga isu fiskal dan keyakinan keseluruhannya berhubung kenaikan OPR.

"Tentang OPR seperti yang kita tahu daripada masa kerajaan dahulu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, OPR ini diputuskan sepenuhnya oleh Bank Negara kerana itu undang-undang yang dibuat dahulu.

"Cuma setakat ini dalam Kerajaan Perpaduan baru sekali naik ketimbang tahun lalu di bawah pemerintahan sebelum ini, empat kali naik.

"Jadi setakat yang saya boleh gesa Bank Negara harus teliti bukan saja isu monetari, kewangan tetapi juga fiskal dan juga keyakinan keseluruhannya.

"Tetapi seperti mana saya jawab awal tadi, kita harus juga terima kenyataan kenaikan OPR seperti mana berlaku di Singapura itu akan memperkukuhkan nilai mata wang," katanya lagi.

Sebelum itu Anwar berkata, penurunan kadar defisit fiskal yang terlalu mendadak akan menjejaskan ekonomi terutamanya projek-projek pembangunan negara khususnya pendidikan, kesihatan dan prasarana desa.

Beliau berpendapat penurunan defisit tidak harus terlalu mendadak dan mesti diturunkan ke paras yang boleh diterima seperti yang diumumkan sebelum ini.