Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak akan menyertai sebarang perhimpunan anti-Najib termasuk yang dikatakan akan diadakan pada 27 Mac ini.

Menurut laporan Sinar Harian hari ini, Abdul Hadi berkata walaupun banyak kesilapan telah dibuat UMNO, namun beliau tidak akan sesekali terlibat dalam perhimpunan tersebut.

“Saya anti UMNO ….tetapi tidak orang UMNO, orang UMNO tidak, orang UMNO kita (PAS) hendak berbaik. Ada pun parti UMNO sudah banyak (buat) kesilapan. (Oleh itu) saya tidak mahu terlibat dalam himpunan (anti-Najib) itu,” katanya.

Abdul Hadi ditemui pada Sabtu selepas program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.3 di Padang Mengkuang, Marang, Terengganu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini memberitahu bahawa akan menganjurkan satu bantahan awam bagi mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri.

Bantahan awam yang dijadualkan pada 27 Mac itu bagaimanapun menurut Zaid dalam status Twitternya, merupakan satu perjumpaan pemimpin yang akan diadakan secara tertutup dan atas ‘jemputan sahaja’ kepada kira-kira 1,000 orang.