Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya memaklumkan sudah meletak jawatan sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa Isnin.

Latheefa memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran terbarunya di laman Twitter peribadinya selepas Ketua Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil mendesak beliau meninggalkan parti untuk mengelakkan konflik kepentingan.

"Terima kasih atas nasihat. Tetap saya telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR berkuatkuasa serta merta semalam (Isnin), setelah dimaklumkan pelantikan saya sebagai Ketua SPRM," tulis beliau.


Malah, Penasihat Lawyers For Liberty (LFL), N. Surendran turut mengesahkan bahawa Latheefa telah meletak jawatan sebagai Pengasas Bersama dan Pengarah untuk LFL.

"Kami mengucapkan tahniah dan berharap beliau berjaya dalam memerangi rasuah.

"Kami juga ingin mengumumkan bahawa Peguam Hak Asasi Manusia, Melissa Sasidaran dilantik menjadi Pengarah baharu untuk Lawyers for Liberty," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan perkhimatan kontrak beliau lebih awal.

Kontrak Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

BACA: Latheefa Koya kini terajui SPRM, ganti Shukri Abdull