Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz berkata, beliau berasa gembira untuk melihat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pusingan ā€˜Uā€™ terhadap kebebasan bersuara sebagai hak untuk semua rakyat Malaysia.

"Saya gembira kerana akhir-akhir ini, dia (Mahathir) sudah mula bercakap tentang kebebasan bersuara. Masa dia jadi perdana menteri dulu, dia tidak pernah mempratikkan kebebasan bersuara," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini pada Sabtu.

Mengulas mengenai kenyataan Tun Mahathir mempertahankan kenyataan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyuarakan pandangan baginda terhadap kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadiri dialog 1MDB, Nazri berkata kerabat Diraja tidak boleh masuk campur tangan dalam isu politik kerana Malaysia berpegang teguh kepada sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan institusi Diraja mengatasi politik.

BACA: 'Selagi kerajaan amal dasar kebebasan bersuara, TMJ juga ada hak' - Tun M

BACA: Jauhkan diri dari politik..., tegas Nazri kepada TMJ


"Ini adalah satu konvensyen dalam demokrasi berparlimen kita supaya kerabat Diraja tidak perlu melibatkan diri dalam politik," katanya.

Semalam, Tun Mahathir, bertindak balas kepada teguran Nazri terhadap Tunku Ismail supaya menjauhkan diri dari isu politik.

Menurut Tun Mahathir, Putera Mahkota Johor itu mempunyai hak kebebasan bersuara di bawah undang-undang seperti mana juga rakyat kebanyakan yang lain.

Tunku Ismail sebelum ini berkata rakyat tidak harus dipersalahkan atas kehilangan keyakinan dan kepercayaan terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Razak selepas beliau gagal menghadiri forum "Nothing2Hide" yang dijadualkan baru-baru ini.

BACA: TMJ 'balas' teguran Nazri secara santai

Baginda memuat naik satu status berkaitan #Nothing2Hide itu di laman Facebook Johor Southern Tigers, dengan menyatakan baginda tidak terkejut apabila Najib tidak hadir.