GOMBAK: "Saya pernah berpesan sebelum ini agar jangan kunci pintu jeriji," Itu luahan datuk kepada dua mangsa kebakaran di Jalan Dewan Simpang Tiga di sini pada Isnin.

Lokman Marni, 53, berkata ingatan tersebut diberikan kepada anak dan menantunya kerana bimbangkan seandainya berlaku perkara buruk.

"Saya selalu ingatkan agar pintu jeriji jangan dikunci kalau keluar ke mana-mana, risau kalau berlaku perkara tidak diingini.

"Tak sangka kejadian sebegini menimpa dua cucu saya, namun saya reda dengan apa yang berlaku, Allah lebih sayangkan kedua-dua cucu saya ini," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran pada Isnin.


Jeriji Berkunci | Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran

Menurutnya, ketika kejadian anak dan menantunya keluar makan kira-kira jam 3 pagi.

"Saya difahamkan mereka keluar makan ketika kejadian, dapat tahu kejadian menerusi panggilan telefon daripada jiran.

"Anak saya tak dapat masuk sebab masa itu bomba sedang padam kebakaran,"ujarnya.

Dalam pada itu, Lokman mengakui dia amat sedih kehilangan dua cucunya yang ketika ini sedang menunggu kehadiran cucu ketiga tidak lama lagi.

"Anak saya sedang sarat mengandung lapan bulan, ujian ini amat berat untuk kami sekeluarga tempuhi.

"Kali terakhir saya bertemu mereka berdua ketika majlis hari lahir saya di Sungai Besar, Sabak Bernam pada 26 Disember lalu," katanya.

Jelasnya, kedua-dua cucunya berkelakuan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu.

"Kedua-dua mereka memang manja dengan saya, tak ada sebarang perubahan pada tingkah laku mereka," tambahnya lagi.

Pada Isnin, dua kanak-kanak maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga di sini.

BACA: Dua beradik maut rumah terbakar

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Syaza Alfisya, 9, dan adik lelakinya berusia tujuh tahun, Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi.

"Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.

Jelasnya, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6x24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar. -Sinar Harian