Salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa hubungan rapat beliau dengan pemimpin-pemimpin kanan PAS dan DAP bakal memudahkan urusan parti itu jika dipilih menduduki kerusi nombor dua.

Saifuddin berkata, selaku Setiausaha Agung PKR, banyak rundingan dan perbincangan bersama pemimpin kanan PAS dan DAP telah disertainya membuatkan beliau lebih memahami apa yang dimahukan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Dengan jawatan saya sebagai Setiausaha Agung, banyak rundingan dan perbincangan yang telah saya serta bersama pemimpin utama PAS dan DAP.

"Dari situ hubungan saya dan pemimpin-pemimpin utama kedua parti itu bertambah baik dan boleh dikatakan saya lebih mudah diterima," katanya dalam satu temubual khas bersama Astro AWANI di ibu pejabat PKR, pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kelebihan yang ada pada calon-calon lain yang turut bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

Saifuddin juga menjelaskan seandainya tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti sekalipun beliau tetap akan memastikan hubungan baik dengan pemimpin kanan PAS dan DAP itu dapat digunakan untuk membantu PKR.

Namun katanya, tugas itu lebih mudah dilaksanakan jika beliau dipilih oleh ahli PKR memegang jawatan timbalan presiden kerana ia jawatan kanan.

Pada pemilihan pimpinan PKR penggal 2014 hingga 2017 yang akan bermula 25 April nanti, Saifuddin bakal berdepan penyadang jawatan nombor dua parti itu, Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua PKR Cabang Batang Kali, Datuk K. Ramachandram.