Datuk Osman Sapian masih lagi meneruskan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor sehingga beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar esok.

Beliau menegaskan bahawa beliau masih memegang jawatan itu, selain Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, lapor Utusan Online.

“Saya masih Menteri Besar Johor sehingga surat peletakan jawatan saya diserahkan kepada Sultan Johor esok (Sabtu),” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan sebuah restoran di Johor Bahru pada Jumaat.

Difahamkan, selepas menghadap Sultan Johor, sebuah sidang akhbar akan diadakan oleh beliau di lokasi yang bakal diberitahu kelak.