Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui dirinya sudah tua dan tidak mempunyai banyak masa lagi.

Namun, di kala ada pihak berpendapat beliau sudah sepatutnya berehat pada usia 92 tahun, bekas Perdana Menteri tersebut itu berkata ramai individu yang telah bertemu dengannya untuk membangunkan negara.

"Saya sedar saya sudah tua. Tiada banyak masa lagi untuk saya.

"Ya. Saya ingin rehat, tetapi ramai rombongan yang datang berjumpa saya, meminta saya buat sesuatu untuk menghentikan kerosakan yang sedang berlaku dalam negara," kata Dr Mahathir semasa berucap pada majlis Pesanan Perdana Tun Dr Mahathir, di sini, hari ini.

BACA: Pesanan Perdana Tun M di Langkawi

Katanya lagi, beliau tidak tergamak menghampakan desakan mereka dan perlu berbuat sesuatu untuk negara.

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, perjuangan beliau kali ini dalam politik adalah sumbangan terakhir untuk negara tercinta.

"Bukan jawatan yang saya cari. Bukan kekayaan dan bukan pangkat. Yang ada pada saya mencukupi. Tetapi kebahagiaan dan kemerdekaan negara tercinta ini, negara di mana kita dilahir, kita membesar dan kita menikmati kehidupan yang selesa.


"Inilah sahaja yang saya hargai, bangsa saya, negara saya, dan agama saya. Yang diperlukan dari kita hanyalah mengundi untuk kalahkan kerajaan," ujarnya.

Justeru, beliau merayu pengundi agar keluar mengundi agar maruah negara terbela.

"Jangan biarkan negara kita terus dihina, dan diperkecilkan sebegini. Jangan biarkan bangsa kita terus menerus diperbodohkan," tambahnya.

Ucapan Dr Mahathir yang diadakan di Dataran Lang, Langkawi itu dihadiri lebih 2,000 penonton. Ketika artikel ini diterbitkan, ucapannya yang disiarkan secara langsung di Facebook Dr Mahathir itu mendapat melebihi 200,000 tontonan.