KUALA LUMPUR: Penyanyi rap tanah air, Ariz Ramli atau lebih dikenali Caprice menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa mendoakan keselamatan ustaz Ebit Lew dalam misi kemanusiaannya ke Gaza ketika ini.

Menurut Caprice, 33, dia berjaya menghubungi Ebit Lew selepas pendakwah terkenal itu didakwa 'hilang' kerana dipercayai sudah beberapa hari tidak mengemas kini media sosialnya berhubung aktiviti kemanusiannya di sana. 

"Tiba-tiba, ramai menghantar mesej kepada saya sejak tiga hari lalu bertanyakan perkembangan Ebit Lew selepas muncul dakwaan yang dia 'hilang'. 

"Alhamdulilah ... kami selalu berhubung menerusi aplikasi WhatsApp. Saya pun terkejut dan terus menghantar mesej WhatsApp untuk bertanya keadaanya di sana." 

BACA: Doakan ya, Alhamdulillah semua dalam keadaan baik - Ebit Lew

"Saya bertanya, "Are you okay? Orang kata Ustaz hilang, kalau okay balas secepat mungkin and then he replied tak sampai 10 minit kemudian," katanya ketika ditemu bual Astro Awani pada Sabtu.

BACA: Wisma Putra sedang kesan Ebit Lew

Menurut Caprice, Ebit Lew dalam perbualan itu turut meminta rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatannya.

"Ustaz berpesan agar semua doakan untuk beliau, Alhamdulilah dia dalam keadaan baik," jelasnya lagi, berhubung keadaan Ebit Lew yang kini dipercayai berada di Mesir. 

Bakal ke Gaza hujung Jun ini

Tegas Caprice, beliau sentiasa memberikan sokongan kepada Ebit Lew atas semua kerja kebajikan yang dijalankan pendakwah itu. 

"Alhamdulilah ... Caprice sendiri telah dijemput untuk ke Gaza, sepatutnya kami bertolak dalam tempoh dua minggu ini, namun selepas kerajaan mengumumkan lanjutan pelaksanaan Peringtah Kawalan Pergerakan 3.0 sehingga hujung bulan ini, kemungkinan kita akan bertolak hujung bulan ini.

"Saya tidak sabar nak ke sana (Palestin) terutamanya selepas Instagram Live saya sebelum ini, banyak perkongsian dan networking dengan orang dI Palestin and Israel.

Menurut Caprice lagi, kunjungannya ke sana untuk membantu demi Ummah dan atas dasar kemanusiaan.

Dia turut berkata, penaja yang menjayakan kunjungannya ke Gaza akan didedahkan suatu masa kelak. 

Bangga solidariti rakyat Malaysia dengan Palestin

Meski pun isu Gaza ibarat tiada penghujungnya, namun jelas Caprice solidariti yang ditunjukkan rakyat Malaysia serta masyaakat sivil di seluruh dunia amat menakjubkan.

Malah protes aman terhadap tindakan rakus rejim Israel dilakukan di beberapa negara besar dengan memberi tekanan agar krisis kemanusiaan di Gaza berakhir.

"Saya bersyukur sejak kita ada (aplikasi) media sosial seperti Tik Tok, kesedaran tentang Palestin ini semakin meningkat.

Caprice turut berharap solidaritii yang dipamerkan masyarakat di Paris, New York, Dublin, United Kingdom dan Malaysia yang begitu mengagumkan akan berterusan.

Justeru, katanya rakyat Malaysia diharapkan sentiasa berdoa dan memberikan sokongan kepada saudara di Palestin agar bebas daripada cengkaman Zionis.

"Perjuangan ini sudah lama dan berpanjangan dan akan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan," tambahnya.