Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berjanji untuk memastikan Yayasan Warisan Sabah menjadi entiti yang kaya untuk rakyat negeri itu.

Menurutnya, sebagai Ketua Menteri, beliau tidak mahu mengaut keuntungan untuk diri sendiri.

"Sebagai Ketua Menteri, saya tak nak kaya tapi saya nak pastikan Yayasan Warisan Sabah jadi entiti yang kaya.

"Sebab itu saya haramkan jual balak ke luar negara. Keuntungan hanya di luar negara bukannya untuk orang Sabah," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Ketua Menteri Sabah bersama Mahasiswa Sabah di Semenanjung Malaysia, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan menuntut pembabitan syarikat minyak kerajaan negeri dengan sebarang projek Petronas di Sabah.

"Bukan hanya royalti minyak yang kita akan tuntut tapi saya akan pastikan semua projek Petronas di Sabah akan libatkan syarikat minyak Sabah.

"Bukan syarikat minyak saya tapi milik kerajaan negeri supaya bukan saya yang kaya tapi kerajaan negeri supaya rakyat Sabah kaya," katanya.

BACA: Sabah tetap tuntut 20 peratus royalti minyak

Beliau juga mengumumkan bakal mengeluarkan biasiswa untuk menampung pengajian anak-anak Sabah di institusi pengajian tinggi pada masa akan datang.

"Sekiranya mencukupi kewangan kerajaan negeri, kita akan taja pelajar di universiti, belajar secara percuma.

"Kalau kita boleh sewa bangunan ratusan juta ringgit setiap bulan, tak kan lah kita tak boleh beri biasiswa pendidikan untuk anak-anak Sabah," katanya yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada mahasiswa yang hadir.

Seramai 1,200 anak Sabah yang menuntut di Semenanjung diraikan dalam majlis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Setia City.