KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan mengambil keputusan yang boleh menggugat kestabilan politik negara.

Beliau berkata peluang harus diberi kepada kerajaan hari ini untuk mentadbir dengan tenteram bagi mendepani tempoh sukar yang mendatang, namun tegasnya, ia tidak bermakna beliau mahu menyertai kerajaan tersebut.

Sebagai bekas Menteri Kesihatan yang berusaha keras untuk mengeluarkan negara daripada pandemik COVID-19, takkan lah beliau tergamak untuk menjadi punca kerapuhan kerajaan.

“Jadi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri, tahniah dan perlu diberi peluang untuk mentadbir negara ini.

“Itu tak bermaksud saya katak melompat ke sana atau ke sini, itu keputusan lain tapi yang penting adalah kita nak lihat kestabilan politik itu sebab tahun ini amat penting.” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Mungkin kita tidak dapat mengelak daripada berbicara berat lagi tentang politik memandangkan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dijalankan dalam masa beberapa bulan mendatang.

Begitupun jelas Khairy, politik negeri harus kekal dalam lingkungan negeri terlihat sahaja dan tidak perlu hingga mencetuskan gangguan terhadap kerajaan pusat.

“Kita kena biasakan diri dengan pertentangan politik yang tidak menjejaskan keputusan yang dibuat iaitu Kerajaan Perpaduan ini adalah di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Negeri kita mestilah ada kematangan untuk membuat pemilihan di negeri dan tidak menjejaskan kestabilan Federal.”

Saya takkan lakukan perkara yang akan ganggu kestabilan negara - KJ