Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul pada Isnin merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan mengangkat beliau sebagai Menteri Kewangan yang baharu.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menzahirkan ucapan terima kasih kerana kepada Muhyiddin kerana memberi peluang kepadanya untuk menyumbang kepada negara.

“Dengan rasa rendah diri saya menerima tanggungjawab yang peri penting di masa kedudukan ekonomi yang amat mencabar ini.

“Saya bertekad untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk negara dan saya yakin kerjasama antara pemegang taruh yang berkaitan akan menghasilkan kejayaan yang kita idamkan bersama,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul, 46, mempunyai pengalaman melebihi 22 tahun dalam industri kewangan, terutama sekali dalam bahagian pelaburan dan pengurusan perbankan.

Terdahulu, Zafrul memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Berhad dan Maybank Kim Eng Holdings. Beliau juga pernah memegang jawatan di Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings Berhad dan Avenue Securities.

Sementara itu, Zafrul kini menjadi ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), yang mewakili Malaysia dalam mempromosikan perdagangan intra dan kerjasama di Asia Pasifik.

Juga sebagai seorang advokasi pembangunan sosioekonomi Malaysia, beliau kini berada di Dewan Majlis Sukan Negara Malaysia, selain sebagai Pemegang Amanah Yayasan Kepimpinan Perdana.

Beliau juga merupakan Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).

Zafrul mendapat kelulusan daripada University of Bristol, United Kingdom dengan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan dan memperoleh Ijazah Sarjana Seni (MA) dalam Kewangan dan Pengurusan dari University of Exeter, United Kingdom.

Untuk rekod tambahan, beliau juga memegang Fellow Chartered Banker dengan Asian Institute of Chartered Bankers dan dianugerahkan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (2010), Darjah Dato Paduka Negeri Sembilan (2014), Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (2015) dan Dato Paduka Mahkota Selangor (2016).

Tengku Zafrul akan dibantu oleh dua timbalan yang merupakan Ahli Parlimen Umno, Abd Rahim Bakeri (Kudat) dan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar).

BACA: Ucapan penuh pengumuman senarai Kabinet oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin