TENOM: Pendakwah bebas, Firdaus Wong memberitahu mahkamah bahawa dia tertekan dan sukar tidur malam sejak menerima kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, berkata demikian ketika menjelaskan kesalahan ejaan 'keburungan keburungan' yang ditulisnya dalam sebuah kumpulan WhatsApp 'NOBODY' yang disertainya.

"Keburungan keburungan adalah kesalahan ejaan daripada saya kerana sejak menerima kes itu dan melihat begitu banyak mesej dan gambar kemaluan lelaki.

"Saya sendiri yang merupakan lelaki tertekan dan sukar untuk tidur malam kerana imej-imej itu sering berlegar di minda," katanya ketika menjawab soalan pemeriksaan balas daripada peguam, Ram Singh dalam sesi perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom pada Selasa.

Firdaus juga turut memaklumkan bahawa kesalahan ejaan itu telah dimaklumkan kepada kumpulan WhatsApp 'NOBODY' berkenaan.

Sebelum itu, pada perbicaraan sesi pagi, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa kumpulan WhatsApp 'NOBODY' merupakan kumpulan yang ditubuhkannya sendiri pada Julai 2021.

Kumpulan WhatsApp itu disertai olehnya sendiri dan tiga lagi ahli termasuk saksi pertama, pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu, Doktor Rozaimy Ramly dan Doktor Yusuf.

Dalam pemeriksaan balas seterusnya, Firdaus tidak bersetuju dengan andaian Ram bahawa testimoni terhadap Ebit bersandarkan gambar dan mesej adalah tidak benar dalam mahkamah.

Beliau juga turut tidak bersetuju dengan andaian Ram bahawa bahawa hantaran dalam kumpulan WhatsApp NOBODY adalah tidak benar di mahkamah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan disambung pada jam 10 pagi Rabu dan Firdaus kekal sebagai saksi pada prosiding berkenaan.

Sebelum itu, Ebit, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim diwakili barisan peguamnya, Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian