KUALA LUMPUR: Rakan kongsi firma guaman Wong & Partners, yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam urusan pembiayaannya pada 2010 berkata, beliau tidak pernah bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Lim Chin Hian, 52, yang mengetuai Kumpulan Amalan Kewangan & Projek di firma guaman itu memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau 100 peratus yakin tidak pernah bertemu Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low walaupun peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) mencadangkan bahawa beliau pernah menemui ahli perniagaan itu.

Lim berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion milik 1MDB.

Muhammad Shafee bagaimanapun menegaskan bahawa terdapat saksi pembelaan yang tidak dinamakan bagi kes itu yang mendakwa saksi tersebut telah menghadiri mesyuarat bersama Jho Low dan seorang lagi rakan kongsi Wong & Partners, Brian Chia.

Muhammad Shafee: Saya akan tanya soalan ini dan saya berharap kamu akan mengingati peristiwa yang berlaku, sejujur mungkin di mahkamah. Kamu pernah jumpa Jho Low?

Lim: Saya tidak pernah jumpa Jho Low. Seratus peratus saya tidak jumpa Jho Low.

Muhammad Shafee: Bagaimana jika saya katakan bahawa kami mempunyai saksi daripada 1MDB yang namanya tidak akan kami dedahkan, siapa sebenarnya menghadiri mesyuarat yag dihadiri Jho Low, Brian Chia hadir dan anda hadir?

Lim: Saya tidak bersetuju.

Peguam itu kemudiannya menyoal mengenai AS$700 juta daripada AS$1 bilion untuk syarikat usaha sama (JV) antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah entiti milik Jho Low.

Lim berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya dan tidak menyedari wang itu tidak dihantar kepada syarikat JV itu.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan kepada Lim bahawa pendapat undang-undang yang diberikan oleh Chia, yang mencadangkan bahawa tidak mengapa untuk menghantar wang kepada Good Star telah menyebabkan syarikat pelaburan strategik itu mengalami kerugian AS$700 juta.

Saksi sekali lagi menjawab beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada kamu bahawa nasihat yang diberikan (oleh Chia) adalah untuk melindungi orang tertentu dalam pengurusan 1MDB. Pendapat undang-undang ini dibuat untuk menguntungkan Jho Low dan menyebabkan 1MDB kerugian AS$700 juta.

Lim: Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan tidak boleh mengulas.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Nov. - BERNAMA