PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan beliau pernah menerima sumbangan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang didakwa bekas pengarah syarikat berkenaan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 13 Jun lalu.

Ahli Parlimen Rembau itu, bagaimanapun berkata, sedia memberi sepenuhnya kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

Dalam masa sama, kata Khairy, beliau juga belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya hendak nyatakan saya tidak pernah terima apa-apa secara peribadi sepertimana telah dilaporkan.

"Saya tidak pernah terima apa-apa wang dalam kes tersebut dan perkara ini mana-mana pihak dipanggil, saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, mendakwa, bekas Menteri Belia dan Sukan itu ada menerima sumbangan daripada syarikatnya namun pemberian tersebut tidak diberikan secara terus.

Sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 itu, kata Wan Quoris Shah, diberikan UKSB kepada Khairy untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.

Kata Wan Quoris, sumbangan itu tidak diberikan secara terus kepada Khairy, sebaliknya disalurkan melalui UMNO Bahagian Rembau kerana ketika itu bekas Ketua Pemuda UMNO itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian berkenaan.

Sebelum itu juga,  saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun yang juga bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa catatan 'KJ' dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku 'faraid' UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.