Ketika sedang rancak desakan supaya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy melepaskan jawatannya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun masih belum memutuskan nasib menteri kabinet tersebut.

“Orang ramai boleh melontarkan pendapat mereka tetapi itu sesuatu yang terpulang kepada saya untuk putuskan. Saya tidak putuskan apa-apa lagi,” katanya ketika ditanya media mengenai desakan tersebut ketika hadir pada Majlis Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad di ibu negara pada Rabu.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), masih lagi menganggap bahawa Waytha Moorthy layak memegang jawatan yang disandang.

Bila ditanya apakah prestasinya ketika ini selepas dia menerima desakan pelbagai pihak Perdana Menteri secara ringkas menjawab, "Dia okey."

Desakan perletakkan jawatan terhadap Waytha Moorthy itu semakin hangat selepas anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia selepas dipukul dalam insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Waytha Moorthy dianggap telah gagal mengendurkan ketegangan kaum berhubung rusuhan itu.

Malah, desakan itu turut disuarakan pemimpin kalangan Pakatan Harapan (PH) sendiri, iaitu Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.

Terdahulu hari ini, sayap pemuda Bersatu juga dilaporkan menyerahkan memorandum kepada Dr Mahathir, mendesak supaya Waytha Moorthy disingkirkan sebagai menteri.

Sementara itu, dalam isu lain, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa mereka yang keluar UMNO tidak akan mengambil alih Bersatu.

Katanya bekas ahli UMNO tersebut hanya boleh berada pada jawatan mereka sehingga pemilihan (parti) yang akan datang.