SHAH ALAM : Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad kecewa apabila nombor telefon bimbitnya digunakan 'scammer' untuk memperdayakan orang ramai.

Menurut Azzuddin, hanya menyedari perkara itu selepas dimaklumkan beberapa kenalan untuk mengesahkan mesej yang diterima menerusi aplikasi Telegram beberapa hari lalu.

"Suspek menyamar sebagai 'Datuk Seri Azzuddin Ahmad' menghantar mesej kepada kenalan saya tidak hanya di Malaysia, tetapi juga Indonesia dan Brunei meminta meminjamkan RM2,000 yang akan dibayar keesokkan harinya.

"Sila maklumkan atau sahkan dengan saya terlebih dahulu sekiranya anda menerima sebarang mesej daripada akaun Telegram saya.

"Saya telah menyahpasang akaun Telegram saya dan membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati. Saya mohon kepada sesiapa yang menerima mesej Telegram tertera nombor telefon dan gambar saya itu supaya mengabaikannya," katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) kepada Sukan Sinar pada Selasa. - Sinar Harian