IPOH: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Sekolah Menengah Smart Batu 4, Jalan Changkat Jong, daerah Teluk Intan, pada jam 8 malam ini bagi menempatkan tujuh mangsa banjir petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan sebuah rumah telah dinaiki air setinggi 0.3 meter di Kampung Lorong Kedah, Batu 8, Changkat Jong, sebelum kesemua mangsa dipindahkan ke PPS.

Sementara itu, di Taiping setakat jam 9.30 malam, seramai 88 mangsa daripada 32 keluarga telah ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Matang melibatkan empat kawasan yang terlibat iaitu Kampung Sungai Rentaka, Matang; Kampung Changkat Baru, Kampung Jebong Kiri dan Kampung Malawati.

Sebelum ini mereka ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Baraqah.

Keseluruhan mangsa banjir di kedua-dua PPS di Teluk Intan dan Taiping adalah 95 orang membabitkan 33 keluarga.

-- BERNAMA