KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How sah meninggalkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa Jumaat lalu menjadikan beliau satu-satunya ADUN bebas di Sarawak.

Tindakan itu sekali gus mengurangkan kerusi pembangkang kepada lima kerusi.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar dalam sidang media khas di DUN Sarawak dekat sini pada Ahad.

“Pada hari Jumaat, 12 Ogos 2022 saya menerima sepucuk surat daripada YB See Chee How, ADUN kawasan N11 Batu Lintang. Dalam surat tersebut beliau menyatakan beliau telah meletak jawatan sebagai ahli PSB berkuat kuasa serta merta.

“Dengan peletakan jawatan beliau sebagai ahli PSB maka kedudukan keahlian parti-parti di DUN sarawak adalah seperti berikut; GPS 76 kerusi, PSB tiga kerusi, DAP dua kerusi, dan Bebas satu kerusi,” jelas Asfia.

Menurut Asfia, Chee How bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang alasan mengenai tindakannya keluar parti tersebut dan dalam masa sama menegaskan ADUN Batu Lintang itu akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas.

“YB See Chee How merupakan seorang yang peribadinya disenangi, cemerlang dan cekap.  Beliau bijak dalam membentangkan pandangan dan pendapat di dewan. Beliau juga salah seorang ahli jawatankuasa perundingan dalam menasihati dewan mengenai MA63 (Perjanjian Malaysia 1963). 

“Saya doakan yang terbaik baginya dan saya yakin beliau boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli DUN dan menyumbang kepada kawasannya dan Sarawak secara amnya,” tambahnya.

Menurut Asfia, pihaknya akan mengambil tindakan menyusun semula kedudukan barisan pembangkang yang mana ahli bebas itu tidak akan duduk bersama pembangkang.

Dalam perkembangan berkaitan, Asfia berkata persidangan DUN Sarawak yang seterusnya akan dilakukan pada November depan iaitu selepas selesai pembentangan Belanjawan Malaysia.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri ke-12 Disember lalu, Chee How memenangi kerusi Batu Lintang dengan majoriti 93 undi dalam pertembungan lima penjuru melawan Sih Hua Tong (GPS), Cherishe Ng (PKR), Voon Lee Shan (PBK) dan Alex Leong (Aspirasi).

Sementara itu, Setiausaha Agung PSB George Lo ketika dihubungi berkata Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.