KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan digesa untuk segera mengadakan sesi libat urus berkenaan isu pendatang tanpa izin (PTI) dan rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, sesi tersebut perlu melibatkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini, tanpa mengira parti politik.

Menurut beliau, pihaknya (DAP Sabah) juga bersedia untuk memberikan input bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.

"Oleh itu, saya mengalu-alukan pengumuman beliau (Jeffrey) pada 15 April bahawa, jawatankuasa khas berkenaan pekerja asing yang tidak berdokumen dan warga asing di Sabah, akan membentangkan laporan awal yang mengandungi cadangan penyelesaian kepada masalah PTI di Sabah kepada Kabinet Sabah bulan depan.

"Beliau (Jeffrey) berkata bahawa "penyelesaian akhir" kepada "masalah" PTI harus datang dari rakyat Sabah dan pemimpin tempatan. Saya sangat bersetuju," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Foong Hin berkata, mereka harus sedar bahawa isu kanak-kanak Pala'u di sekitar daerah-daerah besar di Sabah tidak pernah diselesaikan, sehingga hari ini.

"Kedua, antara 2017 dan 2021, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Sabah telah menerima sejumlah 2,144 aduan.

"Di mana sejumlah 1,036 adalah berkaitan dengan kewarganegaraan dan tiada kewarganegaraan kerakil, menurut Pesuruhjayanya, Jerald Joseph.

"Jerald juga mengatakan bahawa, "sesetengah ahli politik menggunakan isu 'tiada kewarganegaraan' sebagai alat politik mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, menurut pandangan Suhakam, situasi tiada kewarganegaraan di Sabah adalah hasil daripada migrasi campuran dalam jangka masa lama, bercampur dengan dilema sosial, ekonomi, geografi dan politik yang kompleks di rantau ini.

Justeru, laporan dan solusi daripada pihak Jeffrey perlu menangani isu anak-anak Pala'u dan memberi respon kepada hasil dapatan Suhakam.