KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara Senator Fadhlina Sidek menggesa satu jawatankuasa hak kanak-kanak di Mahkamah Syariah ditubuhkan dengan segera.

Jelasnya, langkah itu penting bagi menyelesaikan beberapa isu melibatkan kanak-kanak di mahkamah berkenaan yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

Antara isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh jawatankuasa berkenaan ialah perkahwinan bawah umur, hadanah dan hak lawatan.
 
"Saya lihat ada keperluan ketika ini untuk satu jawatankuasa hak kanak-kanak di Mahkamah Syariah disegerakan untuk ditubuhkan.

"Ini sangat penting kerana ada beberapa isu yang berkait dengan kanak-kanak di Mahkamah Syariah yang  perlukan pembelaan yang lebih serius.

"Pertama adalah isu representasi. Kanak-kanak tidak ada representasi peguam di Mahkamah Syariah. Ini sangat penting khususnya melibatkan hak-hak mereka sebagai contoh perkahwinan bawah umur, hadanah, dan hak lawatan," katanya.

Syor | Platform penilaian urus kemarahan pascaperceraian

Beliau berkata demikian selepas melancarkan statistik dan dapatan Telenisa 2021 di ibu negara semalam.

Melalui pemerhatian dan pengalaman diperolehnya, beliau melihat kanak-kanak berkenaan perlu dibantu dari segi psikososial dan psikiatri bagi memastikan mereka dapat membuat pilihan yang baik dalam beberapa isu di Mahkamah Syariah tanpa dipengaruhi beberapa pihak.

"Jawatankuasa ini perlu memantau dari semasa ke semasa kebajikan kanak-kanak ini. Jawatankuasa ini boleh mempertahankan hak kanak-kanak di Mahkamah Syariah," tambahnya.

Gesa Penubuhan | Jawatankuasa hak kanak-kanak di Mahkamah Syariah

Dalam pada itu, Fadhlina juga mencadangkan diwujudkan satu platform penilaian bagi mengurus kemarahan pasca perceraian sebelum mana-mana bekas pasangan suami isteri membuat tuntutan di mahkamah.

Ia berikutan katanya, belum ada plaform seumpama itu dalam sistem perkahwinan negara ketika ini bagi menguruskan isu kesejahteraan mental dan emosi pihak terlibat di Mahkamah Syariah.

"Kebimbangan saya adalah, pergi membuat tuntutan dalam kemarahan dan dendam.

"Sebenarnya, kita tidak ada dalam sistem untuk menguruskan isu kesejahteraan mental dan emosi pihak-pihak di mahkamah syariah.

"Ini sangat kritikal ketika ini kerana kita sebagai aktivis dan pegawai sokongan terpaksa lalui proses emosi ini.

"Kadang-kadang, kita mendengar sebelah pihak sahaja, fakta tidak ada. Ia bahaya untuk kita sekiranya tiada ruang bagaimana ia berlaku," ujarnya.