MELAKA: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar ditangguhkan beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik ketika ini berjaya membuktikan tiada gelombang baharu yang serius.

Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, banyak faktor perlu diteliti selain gesaan untuk mengadakan PRU15 dalam masa terdekat ini juga bukan desakan rakyat, sebaliknya lebih kepada desakan parti politik.

Beliau berkata, secara dasarnya Kementerian Kesihatan yakin mampu mengawal kesihatan awam dan memastikan pilihan raya dapat dijalankan dengan selamat dengan mengambil kira beberapa siri kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

“Tetapi kalau kita nak cermat, betul-betul nak jaga kesihatan awam kita boleh tunggu dulu sehingga beberapa bulan lagi peralihan ke endemik ini tak cetuskan gelombang yang serius, maka saya lebih selesa sebagai menteri kesihatan pada waktu itu. Sebab kalau buat PRN banyak kita boleh kawal.

"Tetapi lepas ini dengan tiada apa-apa sekatan lagi mestilah parti-parti politik akan minta buat ceramah, dulu kita tiada ceramah besar-besaran,. Dia akan minta, jadi bagi saya adalah lebih baik kita berwaspada, berhati-hati lagipun tiada apa-apa desakan rakyat untuk diadakan pilihan raya ini, lebih kepada desakan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri Melaka dan Sambutan Hari Denggi ASEAN serta Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan di Banda Hilir, Melaka petang Ahad.

Majlis berkenaan terdahulu disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan PRN dan PRU bagaimanapun mempunyai perbezaan tertentu memandangkan PRU bakal melibatkan skala pilihan raya yang besar.

Katanya, memandangkan negara baharu beralih ke fasa peralihan endemik pada 1 April lalu, banyak perkara perlu diteliti dan lebih baik jika ditangguh untuk beberapa bulan lagi.

Dalam pada itu mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak perlunya mandat melalui PRU dikembalikan kepada rakyat dengan alasan pandemik COVID-19 secara rasmi berakhir pada 1 Mei 2022, Khairy menegaskan ahli politik tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan mengelirukan.

Katanya, negara masih lagi dalam fasa peralihan ke endemik selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi mengumumkan COVID-19 sebagai Public Health Emergency of international Concern (PHEIC) yang boleh ditamatkan.

Katanya, apabila diumumkan kelak, Malaysia juga akan membuat pengumuman bahawa tidak lagi akan guna Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan itu, beliau berharap, mana-mana ahli politik termasuk rakyat juga tidak keliru dan perlu menggunakan fakta yang tepat berkaitan endemik.