Segerakan PRU15 adalah langkah sia-sia

Shuhada Abdul Kadir
Januari 9, 2021 08:22 MYT
Dari kiri: Nurashiqin, Mohd Som dan A Roslan masing-masing berharap tumpuan diberikan kepada masalah utama rakyat ketika ini iaitu soal, COVID-19, bantuan bencana dan ekonomi. - Astro AWANI
ALOR GAJAH: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19 hanya suatu langkah sia-sia.
Rata-rata penyokong akar umbi UMNO ketika ditemui Astro AWANI menyuarakan kekesalan sekiranya pilihan raya itu diadakan dalam masa terdekat.
Bagi A Roslan Abdul Aziz, 62 tahun, kemelut politik semasa tidak langsung membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat, malah hanya menjurus kepada keruncingan proses pemulihan ekonomi negara.
“Kita kena akur dengan perintah Agong. Agong dah kata tak nak. Sepatutnya dia (pemimpin politik) memahami jiwa rakyat, mencari jalan penyelesaian. Yang kedua, masalah COVID-19 sekarang ni ditangani, bukan cerita pooitik, cerita politik bagi saya dah tak ada untuk sementara ini.
"Memang tak layak untuk kita buat PRU untuk masa ini. Sekarang adalah masa selesaikan masalah COVID-19 dan ekonomi. Bukan asyik-asyik nak cerita pilihan raya. Mana kata berjuang untuk rakyat?” ujarnya.
Bagi pesara kerajaan, Mohd Som Zanal, 65 tahun, pergeseran politik yang tidak berkesudahan jelas membuktikan pemimpin seolah-olah mengetepikan nasihat Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar meredakan seketika isu politik.
Katanya, ketika rakyat sedang meratapi keperitan, rentetan penularan COVI-19, bencana banjir dan beberapa isu lain yang menjejaskan ekonomi, para pemimpin sepatutnya berada di belakang rakyat bagi membantu meringankan beban mereka dan bukannya sibuk merebut kuasa dengan menyegerakan pilihan raya.
“Pucuk pimpinan atasan ini tak boleh lagi bergaduh, tunjukkan kuasa, rebut jawatan, rebut kedudukan, sedangkan negara kita masih diancam virus COVID-19.
“Seperkara lagi, kita sedang hadapi banjir. Apa tindakan pihak kerajaan sekarang, kita kena ikutlah saranan Agong, saya pun tak setuju PRU hendak diadakan secepat mungkin. Buang masa, habiskan duit negara, susahkan rakyat, ini masalahnya,” tegas Mohd Som.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Alor Gajah, Nurashiqin Alias akui penyokong UMNO di peringkat akar umbi tidak bersetuju sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Malah tegasnya, sikap sesetengah pemimpin seolah-olah mendesak ia dilakukan segera hanya merugikan parti dan mereka seharusnya lebih memberikan tumpuan kepada isu semasa rakyat.
“Pada peringkat bawahan, akar umbi, semua tak setuju adakan PRU dalam masa terdekat. COVID-19 sekarang ini makin meningkat, (ditambah pula) keadaan banjir di beberapa kawasan. Rakyat sedang susah.
“Apa yang perlu buat, janganlah terlalu awal nak buat PRU... Kita harap pihak atasan fokus pada rakyat. Bantu rakyat. Kita takut nanti rakyat akan bertindak protes tak mahu keluar mengundi, siapa nanti akan rugi?” ujar Nurashiqin.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar PRU15 diadakan segera bagi membina sebuah kerajaan yang stabil.
Menurut Ahmad Zahid, pru15 boleh dilaksanakan dengan cara memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.
#politik #nurashiqin alias #mohd som zanal #a roslan abdul aziz #ekonomi #masalah rakyat #PRU #pilihan raya #banjir #COVID-19