Rakyat negara ini umumnya sudah mengetahui tentang kualiti pasport Malaysia dan ia diakui antara yang terbaik di dunia. Istilah ‘terbaik’ dari aspek pembuatan pula membawa kepada kelebihan lain yang ditawarkan kepada pemegangnya.

Persoalan seterusnya yang sering ditanyakan adalah: “Sejauh manakah kuasa pasport Malaysia?”

Pasport Malaysia sebenarnya berkongsi kedudukan di tangga kesembilan bersama Malta dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia. Kedua-dua pasport ini menawarkan akses tanpa visa ke 163 buah negara.

Tempat kelapan adalah milik pasport Iceland dengan akses tanpa visa ke 165 buah negara. Ia diikuti pasport Korea Selatan di tangga ketujuh (166 negara).

Tempat keenam dikongsi tiga negara iaitu Australia, Singapura dan Greece (167 negara) manakala tempat kelima dikongsi pasport negara Switzerland, Austria dan New Zealand (168 negara).

Ireland, Kanada, Perancis, Jepun, Norway, Portugal dan Sepanyol berkongsi kedudukan di tempat keempat dalam senarai pasport paling berkuasa dunia. Pemegang pasport dari negara-negara berkenaan boleh melawat ke 170 buah negara tanpa visa.

Tempat ketiga adalah milik Itali, Belgium dan Belanda (171 negara) sementara tempat kedua dikongsi Amerika Syarikat, Jerman, Denmark dan Luxembourg (172 negara).

Pasport paling berkuasa di dunia adalah milik United Kingdom, Finland dan Sweden dengan akses tanpa visa ke 173 buah negara.

Ciri keselamatan dan pelaksanaan pasport Malaysia, sama seperti kebanyakan pasport negara lain dalam senarai itu digariskan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Selain meningkatkan integriti dokumen perjalanan, pasport Malaysia juga ditingkatkan kualitinya bagi mengekang dan mencegah gejala pemalsuan pasport serta melindungi identiti rakyat Malaysia.

Kewujudannya membolehkan rakyat Malaysia bergerak dengan selesa di pintu-pintu masuk antarabangsa melalui dokumen yang mempunyai keupayaan pengesahan ketulenan atau kesahihan maklumat pemegang pasport.

Pemegang pasport Malaysia juga menikmati kemudahan e-servis dan pintu pemeriksaan automatik (autogate) yang disediakan oleh negara-negara anggota ICAO di seluruh dunia.

Sementara itu, pasport paling lemah di dunia adalah milik Afghanistan iaitu pemegangnya hanya boleh merantau ke 28 buah negara tanpa visa. Senarai pasport paling lemah itu diikuti oleh pasport Iraq (31 negara) dan kedudukan ketiga terlemah adalah dikongsi Somalia dan Pakistan (32 negara).