- 9 mayat ditemui dalam satu kubur; dipercayai maut Jumaat lepas
- Kerajaan dedah foto mayat pengganas
- Seorang pengganas ditembak mati pagi Rabu
- Operasi geledah diteruskan masuk hari kedua
- Operasi geledah diperluaskan ke luar Kg Tanduo
- Operasi perlahan kerana berisiko dan cabaran muka bumi
- Jangan perlekehkan usaha tentera dan polis
LAHAD DATU: Tiga belas mayat pengganas dari Selatan Filipina ditemui di Kampung Tanduo susulan operasi menggeledah lokasi persembunyian kumpulan penceroboh itu diteruskan sehari selepas kerajaan melancarkan Operasi Daulat mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.
Korban itu termasuk seorang pengganas yang ditembak mati dalam satu pertempuran pada 6.45 pagi Rabu. Sembilan daripada mayat itu dijumpai dalam sebuah kubur.
Dalam satu sidang media bersama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendedahkan lima keping foto penemuan mayat berkenaan serta bukti lain kejayaan operasi penggeledahan itu setakat ini.
"Ini adalah gambar yang selama ini ditunggu oleh masyarakat," kata Ahmad Zahid sambil mengangkat sekeping daripada foto berkenaan.
Selain foto-foto mayat, dua keping foto lagi menunjukkan operasi penggeledahan dan senjata penceroboh yang dirampas.
"Ini bukan satu pembohongan, bukan satu rekaan. Ini satu realiti on the ground," kata Hishammuddin dalam sidang media yang diadakan di Felda Sahabat 16, dekat sini itu.
Kenyataan Hishammuddin itu merujuk kepada tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan keberkesanan Ops Daulat setelah tiada sebarang maklumat dikeluarkan mengenai perkembangan operasi itu.
Menyentuh hal sama, Ahmad Zahid meminta orang ramai supaya tidak memandang remeh usaha yang sedang dijalan oleh tentera dan polis.
Tegas beliau, kerajaan tiada apa-apa yang hendak disembunyikan sebaliknya usaha itu terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana ia berisiko tinggi selain bentuk muka bumi kawasan berkenaan yang sukar.
"Jangan diperlekehkan. Walaupun ia dilihat mengambil masa tetapi harus diketahui kebolehan polis dan tentera kita berada pada paras cukup tertinggi," tegas Ahmad Zahid.
Beliau turut mendedahkan insiden pada pukul 1.45 tengahari tadi apabila seorang anggota forensik yang sedang membuat pemeriksaan di tapak kubur yang ditemui diserang oleh pengganas.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa tahap semangat anggota polis dan tentera yang terlibat bekerjasama dalam operasi tersebut berada pada tahap yang tinggi dan memberangsangkan.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau yakin pihak polis dan tentera telah membunuh lebih ramai lagi pengganas terlibat.
Beliau mendedahkan berlaku pertempuran di lokasi berbeza setelah operasi menggeledah diperluaskan pada Rabu ke Kampung Tanjung Batu yang terletak dua kilometer dari Kampung Tanduo.
"Kita percaya ada musuh yang telah dapat dibunuh bagaimanapun kita tidak dapat mengesahkan jumlah mereka setakat ini," katanya.
Jelas Ismail, pasukan keselamatan kini memburu saki-baki pengganas itu yang melarikan diri ke Kampung Tanjung Batu selepas polis dan tentera mula menggeledah Kampung Tanduo semalam.