KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi akan memberi tumpuan kepada isu kemelesetan ekonomi dunia, antaranya isu sekuriti makanan.

Justeru, Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua sektor industri perlu mengambil peranan besar dan diberi perhatian termasuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS).

"Pasca COVID-19, kemelesetan ekonomi Eropah, kesan perang Ukraine dan Russia, ini semua menuntut kita lebih berani untuk memperkenalkan dasar yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak.

"Sebab itu saya tekankan peranan bukan sahaja syarikat besar tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (IKS) dalam negara juga harus diberi perhatian dan diberi ruang supaya mereka dapat meningkatkan teknologi serta pendigitalan. Ini bagi membolehkan mereka bersaing dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

"Tentunya isu berkaitan ialah pemusatan isu alam sekitar, termasuk sekuriti makanan. Import makanan kita terlalu tinggi dan ini semua hal yang kita akan beri tumpuan dalam belanjawan," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber, pada Sabtu.

Bajet 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November tahun lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi menyeru kerjasama berterusan semua lapisan masyarakat untuk menghentikan permainan isu agama dan bangsa, yang dianggap sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada isu rasuah yang berleluasa.

"Bagi saya ia (isu bangsa dan agama) sama sekali tidak relevan, sebaliknya ia adalah satu percubaan pemimpin politik untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu pusat serta tadbir urus negara, mereka mencanang isu kaum termasuk Melayu, bahawa kedudukan dan kuasa mereka sedang dicabar.

"Ini jawapan saya. Yang dicabar bukan peniaga Melayu, peniaga Cina, peniaga India atau peniaga Sarawak dan Sabah, sebaliknya survival Melayu diancam oleh sistem rasuah, pemimpin tamak, mencuri dana awam di negara ini.

"Jadi kita harus terus bekerjasama untuk memastikan kita boleh menyelamatkan negara ini daripada endemik rasuah," ujarnya lagi.