KUALA LUMPUR: Pembuatan polisi perlu mengambil kira data di lapangan dalam memastikan sektor makanan negara dapat dikembangkan, sekali gus menjamin sekuriti makanan.

Pengurus Besar D&H Plantations, Kundasang, Shahrizal Denci berkata data-data tersebut telah pun ada, namun kerjasama antara agensi perlu dipertingkatkan bagi memastikan polisi yang dihasilkan benar-benar efektif.

Selain itu, beliau berkata peranan koperasi perlu dioptimumkan bagi meningkatkan lagi pengeluaran makanan dalam negara.

"Kita dapati Sabah dan Malaysia mempunyai potensi besar dan usaha mengembangkan sektor makanan, kumpul dan kongsikan data-data tersebut dalam sistem dashboard dan kita boleh tahu di daerah Ranau (misalnya) ada berapa petani, pengeluaran dan hasil yang akan dikeluarkan, atau kesuburan tanah.

"Daripada dashboard yang kita buat itu, kalau kerajaan ingin berkolaborasi dengan data, kita boleh bina satu polisi yang lebih efektif kepada akar umbi dan juga untuk Malaysia menjadi negara pengeksport produk-produk makanan di masa hadapan.

"Tetapi polisi itu mesti bermula dengan memahami data-data di lapangan.

"Kalau polisi itu dibuat seperti melepaskan batuk di tangga, macam sebelum-sebelum ini, jadi ia susah untuk kembangkan industri makanan negara," katanya dalam program Dialog Poket Rakyat yang disiarkan di Astro AWANI pada Jumaat malam.

Mengulas lanjut, Shahrizal berkata pihak berkaitan juga disaran mengkaji mekanisme untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil memandangkan hampir 80 peratus produk makanan di Malaysia dihasilkan oleh kumpulan berkenaan.

Kursus-kursus berkaitan pertanian di peringkat, pada pandangan beliau perlu disingkatkan bagi memberi lebih pendedahan kepada mereka yang bakal menceburi sektor makanan.

"Kita sudah cakap tentang sistem koperasi tetapi kena betul-betul cepat untuk buat benda ini supaya kita boleh hasilkan jumlah (pengeluaran yang banyak). Dengan ada tawaran, kita boleh ada kuasa eksport dan memberikan harga yang murah kepada rakyat.

"Jadi bagi saya kita tak boleh tunggu lama sebab selama dua tahun (kursus) dan kita buat 'mapping' kepada petani-petani Sabah, kebanyakan mereka tahu menanam tetapi tidak memahami bagaimana perniagaan berfungsi," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pengasas Grasicili, Munir Ashim Abdullah berpandangan usaha meningkatkan nilai pengeluaran tanaman boleh dilakukan dengan memfokuskan kepada pasaran luar negara.

"End game kita sebenarnya adalah eksport, bahkan kita sekarang merancang untuk melancarkan jenama di United Kingdom (UK).

"Sebab kalau kita tengok tanah yang kita ada ini, cantum lah tanah kita di Sabah dan Sarawak berbanding Australia, tenggelam kita... Kalau di India, lagi besar (tanah pertanian).

"Sebab itu kalau mereka keluarkan cili kering, mereka tidak petik, mereka tolak sekali semua.

"Jadi bagi saya kalau kita nak menaikkan nilai pengeluaran di Malaysia, kita kena pergi kepada 'royal brand product'. Sebab itu kalau kita jual sos cili, kita tak jual di Malaysia tetapi jual di luar negara dengan (mata wang) dolar AS, baru kita boleh cili dengan harga premium," ujar Munir.