LIPIS: Usaha mengatasi kekurangan bekalan dan tekanan harga di pasaran terus diperhebat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) apabila mengambil langkah drastik dengan menggerakkan agensi Felcra, Risda dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu pengeluaran ternakan ayam, lembu serta pertanian.

Timbalan Menteri Satu KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sebelum ini Felcra dan Risda memberi tumpuan terhadap sektor perladangan sawit dan getah namun kini agensi terbabit diminta terlibat dengan ternakan ayam, lembu serta hasil pertanian lain yang berkapsiti tinggi sebagai mengisi program sekuriti makanan.

"KPLB sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk Felcra dan Risda supaya kedua agensi ini membuka ladang ternakan membabitkan peserta di bawah agensi ini sebagai tenaga buruh.

"MARA pula akan membantu menyediakan bantuan kewangan antara RM100,000 hingga RM500,000 kepada pengusaha yang sudah berjaya sebagai suntikan modal bagi melebarkan projek tersebut serta menambah jumlah (ternakan) untuk pasaran," katanya kepada media selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Felcra Pahang Berhad di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Beliau berkata, KPLB turut meminta pengurusan Risda dan Felcra supaya menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada peserta atau pengusaha di luar bandar untuk menceburi bidang ternakan bagi menampung pendapatan keluarga selain hasil sawit diperoleh setiap bulan.

"Perkara ini mampu dilakukan oleh Felcra dan Risda sama ada projek ternakan diselenggarakan oleh kedua agensi ini yang berusia 60 tahun. Banyak pengalaman bidang pengurusan sebagai tunjang menggerakkan ekonomi dan keperluan isi rumah penduduk miskin di luar bandar termasuk menggalakkan peserta agensi tersebut terbabit sepenuhnya dalam bidang terbabit.

"Saya memberi jaminan, MARA akan menyediakan sejumlah bantuan berskala besar dan mengikut kesesuaian melebihi daripada RM100,000 kepada pengusaha ternakan ayam dan lembu, tetapi dengan syarat mereka (pengusaha) sudah pun terbabit dalam bidang ini, sebagai contoh memiliki sekurangnya-kurangnya lebih 100 ekor lembu, manakala ayam antara 5,000 hingga 10,000 ekor yang dipelihara untuk komersial, " katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menjelaskan, kerajaan sedia menimbang bantuan tersebut sejajar dengan peranan KPLB membantu meningkatkan pengeluaran dalam kalangan usahawan luar bandar di samping mengurangkan tekanan dalam negara ketika berdepan kekurangan bekalan ternakan dan kenaikan harga hasil pertanian.

Sementara itu, beliau berkata, Felcra Pahang Berhad telah merintis ternakan ayam pedaging dengan memperuntukkan sejumlah RM59.64 juta sebagai geran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi melaksanakan projek itu secara sistem tertutup yang akan dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin.

"Kerja membersihkan tapak, jalan ke pusat ternakan dan prasarana lain akan dmulakan pada bulan Jun tahun ini dan dijangkakan beroperasi serta mengeluarkan ayam daging pada awal Februari 2023.

"Projek ternakan ayam daging ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada kira-kira 500 orang penduduk setempat, manakala setiap pusingan 35 hari akan mengeluarkan sebanyak 600,000 ekor ayam untuk pasaran," ujarnya.