KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini mengadakan satu mesyuarat khas Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) dalam menangani cabaran sekuriti makanan negara.

Menurut satu kenyataan media dikeluarkan MAFI pada Rabu, mesyuarat berkenaan dipengerusikan Menteri MAFI, Datuk Seri Ronald Kiandee turut melibatkan 15 ahli MPPN.

"Mesyuarat ini diadakan antara lain untuk mendapatkan pandangan dan cadangan berkaitan isu-isu semasa berkaitan sekuriti makanan negara.

"Selain itu, langkah-langkah intervensi jangka sederhana dan panjang juga telah dibincangkan bagi merangka hala tuju sektor pertanian dan industri makanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa secara menyeluruh dan holistik.

"MPPN bertindak sebagai penasihat kepada Menteri MAFI dalam mengenal pasti isu-isu khususnya berkaitan sekuriti makanan negara dan menyumbang pandangan serta cadangan yang sesuai bagi memacu hala tuju sektor agromakanan mengikut perkembangan dan kepertuan semasa," jelas kenyataan itu.

Menerusi mesyuarat khas berkenaan, ahli-ahli MPPN jelas kenyataan media itu, mengambil maklum langkah yang telah diambil kerajaan.

Ia termasuk pemberian subsidi kepada penternak ayam, pemberhentian eksport ayam, pemansuhan Approved Permit (AP) bagi produk agromakanan dan pelbagai langkah lain.

Justeru itu, mesyuarat khas MPPN berpendapat tindakan susulan jangka masa sederhana dan panjang perlu dijalankan bagi mendepani cabaran sekuriti makanan negara secara komprehensif.

"MAFI akan mengambil tindakan susulan berkaitan segala cadangan dan pandangan yang telah diberikan dalam mesyuarat ini.

"Sebahagian cadangan termasuk langkah-langkah jangka masa sederhana dan panjang bagi memperkukuhkan sekuriti makanan negara akan dibawa untuk pertimbangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 30 Mei 2022.

"MAFI akan terus mengadakan perbincangan dan libat urus terbuka dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha menghadapi cabaran-cabaran semasa yang mengancam sekuriti makanan negara, sekali gus memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," jelas kenyataan itu.