KUALA LUMPUR: Biarpun negara masih mempunyai bekalan makanan yang mencukupi dan belum sampai ke peringkat krisis makanan, orang ramai perlu terus diberi jaminan dan dimaklumkan tentang persiapan kerajaan menghadapi situasi tidak menentu ketika ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, isu bekalan makanan ini timbul susulan beberapa krisis seperti cuaca, kesihatan dan peperangan yang melanda seluruh dunia, namun pihaknya sudah mengambil pendekatan yang sewajarnya bagi menanganinya.

"MAFI sudah ada perancangan rapi untuk pastikan bekalan makanan negara tak ada masalah. Sehingga kini tahap kecukupan makanan stabil, jangan risau kita belum lagi krisis makanan.

"Tetapi kita perlu memperjelaskan, rakyat perlu jaminan, mereka nak tahu kebenaran. Untuk makluman sejak dahulu kita dengar pendekatan kerajaan mengutamakan pertanian, kemudian beralih ke sektor perkilangan, perindustrian teknologi dan digital, akhirnya timbul cadangan kembali ke negara pertanian.

"Ini kerana kita dikejutkan dengan gangguan dalam rantaian makanan. Kita sedar di luar sana orang ramai bercakap tentang food insecurity, berpunca daripada 3C, Climate, COVID-19, Crisis.

"Di MAFI, kita sudah bersedia, tahun lepas kita lancar Dasar Agro Makanan Negara 2.0, perancangan 10 tahun kita unjurkan, kita tetapkan kaedah bagaimana nak merencana proses atau aspek pengeluaran makanan.

"Dalam dasar ini kita telah lengkapkan lima teras utama, kita beri perhatian terhadap lapan komoditi makanan utama pilihan rakyat," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Dialog Tiga Penjuru yang bersiaran pada Khamis.

Turut serta ialah Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Selangor, Ir Izham Hashim dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.

Beliau menambah, MAFI juga mengambil inisiatif menubuhkan beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara, yang berfungsi membuat perancangan dan dasar cross-cutting sector bagi memastikan kecukupan bekalan makanan, selain Jawatankuasa Eksekutif Keselamatan Makanan dan jawatankuasa di peringkat negeri.

Dalam pada itu, Ir Izham memaklumkan Selangor sebagai antara negeri dengan permintaan bekalan makanan tertinggi, sentiasa bekerjasama dengan MAFI bagi memastikan usaha untuk memperkasakan sektor makanan dan pertanian berjalan dengan baik.

Ini termasuklah melihat rantaian bekalan makanan secara holistik, bermula daripada penggunaan tanah sehinggalah pemasaran produk.

"Apabila kita berurusan dengan syarikat, antara masalah mereka ialah ayam broiler yang ada harga siling ditetapkan kerajaan tetapi dengan kenaikan harga, seperti bijiran jagung merupakan 50 peratus makanan ayam, yang lain seperti hampas soya dan fishket, tentu mereka terkesan dengan kenaikan harga ayam.

"Penternakan ayam ini industri yang akan terus berkembang kerana sumber protein murah, disebabkan gangguan bekalan, salah satu punca ialah tumbesaran ayam, saiz yang kecil disebabkan baka, tetapi ada juga tendency pengeluar mengurangkan makanan kerana kos makanan ayam yang tinggi.

"Kalau nak harga ayam murah, makanan ayam juga kena murah," jelasnya.

Selangor ujarnya, bersedia bekerjasama dengan negeri lain berkaitan sumber tanah bagi tujuan penanaman jagung bijirin, selain menjalankan kajian berkenaan sumber makanan alternatif ayam yang akan dilaksanakan secara komersial tidak lama lagi.

Bagi Mohideen pula, situasi hari ini sudah dapat dijangka dan berpendapat sudah tiba masanya semua pihak memberi fokus terhadap kajian berhubung punca masalah, serta mula mengutamakan industri pertanian makanan bagi mengelakkan pergantungan kepada bekalan dari luar.

"Pendapatan menurun, peniaga kecil dan syarikat gulung tikar akibat kemerostan ekonomi jadi kenaikan harga barang akan beri kesukaran kepada rakyat khususnya B40 dan sebahagian M40.

"Kami CAP telah beri amaran tiga tahun lalu, kita akan hadapi krisis makanan jika berlaku satu malapetaka. Sekarang berlaku COVID-19, krisis Ukraine-Rusia menjejaskan rantaian perdagangan mengakibatkan harga makanan melambung tinggi.

"Kita sangat bergantung kepada bekalan import seperti sayur dan daging, sebab itu kena fokus apakah punca masalah.

"Selama ini kita fokus industri IT, bidang pertanian kita utamakan pertanian komersial, crop palm oil dan lain-lain, sekarang kita perlu kajian menyeluruh untuk kenal pasti punca masalah ini dan ambil tindakan dengan beri keutamaan kepada agro food industry," katanya.

Dialog Tiga Penjuru: Negara pertanian - Proaktif atau reaktif?