KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad yakin guru merupakan faktor penting dalam memastikan cara penyampaian pembelajaran yang lebih berkesan selain penggunaan teknologi, bagi melahirkan pelajar cemerlang. 

Walaupun mengakui teknologi adalah keperluan dalam sistem pendidikan, namun, bekas Perdana Menteri menjelaskan, tidak semua perkara boleh diaplikasikan secara mendadak kepada pelajar kerana ia memerlukan saringan dalam membentuk karakter yang sesuai.

“Kita tahu, teknologi bergerak laju dan hampir setiap hari ada penemuan baharu. Menjadi keperluan melengkapkan pelajar dengan kemahiran ini namun kita juga perlu pastikan pengetahuan yang diberikan perlu sesuai dengan karakter kerana kita tidak mahu kemahiran yang ada ini disalah gunakan,” katanya semasa Wacana Hala Tuju Sistem Pendidikan Dalam Talian Di Malaysia pada Selasa.

Pada majlis itu, Tun Dr Mahathir turut melancarkan inisiatif Malaysia Bangkit Belajar yang memfokuskan kepada pelajar Tingkatan Tiga hingga Lima untuk mendapatkan pembelajaran secara percuma melalui pembelajaran dalam talian yang dikendalikan oleh pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM (PTTI).

Dr Mahathir juga melihat keperluan dalam pembahagian kerja antara tenaga pengajar yang lebih berkesan dalam memastikan sistem pendidikan Malaysia berada pada landasan yang sama dengan negara luar.

“Kita perlu akur bukan semua guru terbaik dalam negara dan kesannya ke atas pelajar jika guru-guru ini tidak dilengkapi dengan ilmu.

"Apa yang boleh kita buat adalah melalui bantuan teknologi yang akan membantu guru-guru terbaik ini menyampaikan bahan pengajaran secara meluas sekali gus membolehkan pelajar-pelajar ini mendapat peluang belajar dengan guru yang sama.

“Namun dalam masa yang sama perlu ada seliaan guru kelas secara fizikal yang akan membantu. Jadi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya ke atas guru kerana tidak semua guru mempunyai teknik pengajaran yang baik dan ini akan memberi impak kepada pelajar,” jelasnya.

Ujarnya lagi, pendidikan tidak boleh disalurkan melalui cara yang sama memandangkan tahap penerimaan murid berbeza mengikut kemampuan.