KUALA LUMPUR: Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa tiga penghuni rumah kebajikan itu nampak Siti Bainun Ahd Razali mendera remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella di sebuah unit kondominium tahun lepas.

Pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, berkata mereka ialah "Eyna, Aida dan Balqis" yang tinggal bersama Siti Bainun dan Bella semasa kejadian itu berlaku.

Saksi pendakwaan pertama itu, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun pada perbicaraan kesnya yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun tersebut.

Mohammad Farhan: Selain Yasmin (Yasmin Nahar Mahmood) dalam pengetahuan anda, tidak ada seorang pun yang pernah nampak Siti Bainun mendera Bella.

Zurianty: Tidak setuju.

Mohammad Farhan: Maksudnya, puan tahu wujudnya individu lain selain Yasmin yang nampak Siti Bainun mendera Bella.

Zurianty: Ya

Yasmin dalam keterangan sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau nampak Siti Bainun telah mendera Bella setiap hari sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Menjawab soalan seorang lagi peguam Siti Bainun, Nurul Hafidzah Hassan, saksi berkata beliau mengenali aktivis bernama Mona Din dan pernah berkomunikasi dengan wanita itu buat kali pertama di Facebook.

Zurianty berkata beliau terkejut video kecederaan Bella ditularkan oleh aktivis berkenaan di Facebook dan beliau tidak pernah memberikan video berkenaan kepada Mona Din serta tidak menyokong tindakan wanita itu menularkan kes tersebut di media sosial.

Bagaimanapun, Zurianty mengakui beliau ada memasukkan hantaran berkenaan kes Bella di Facebook miliknya.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

-- BERNAMA