KUALA LUMPUR: Hari Wanita Antarabangsa disambut setiap 8 Mac, dengan tema pada tahun ini adalah 'Mendukung Kesaksamaan'.

Berdasarkan Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2021 adalah 0.707.

Ia bersamaan 70.7 peratus, menurun 0.7 mata peratus berbanding 0.714 pada tahun 2020.

Skor dengan nilai 1.0 (100 peratus) menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

Berikut adalah beberapa fakta penting berkait jurang gender di Malaysia.

1) Pencapaian wanita melebihi lelaki dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060.

2) Sub-indeks kesihatan dan kehidupan mencatatkan skor 0.960, diikuti sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi (skor 0.709).

3) Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.5 peratus pada tahun 2021 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Laos (74.8 peratus) dan Kemboja (74.0 peratus).

4) Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 10.0 peratus (skor 0.100) yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan Parlimen.

5) Dianggarkan 15.6 juta penduduk Malaysia adalah perempuan daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk pada 2021.

6) Dari segi kelahiran, bayi perempuan mencatatkan 212,848 kelahiran daripada keseluruhan 439,744 kelahiran hidup pada 2021.

7) Bagi setiap RM100 gaji dan upah diterima lelaki, wanita menerima RM96.21. (Wanita: RM35,616 ; Lelaki: RM37,020).

8) Peratus wanita sebagai profesional dan pekerja teknikal lebih rendah berbanding lelaki. (Wanita: 40.6 peratus ; Lelaki: 59.4 peratus)

9) Penguasaan wanita dalam politik jauh lebih rendah, di mana hanya 15.6 peratus terlibat berbanding lelaki, 84.4 peratus.