Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti semula pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata langkah itu perlu berikutan rakyat Selangor dilihat gagal mematuhi SOP selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan sejak 10 Jun lepas.

"Perkara ini (kegagalan patuhi SOP) sudah saya jangka dari awal sejak pelaksanaan PKPP, sebab itu saya sering ingatkan rakyat supaya patuh pada SOP.

"... esok saya akan hadir mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri. Selepas itu, kita akan nilai balik (SOP) kerana apabila kita buka (kebenaran untuk sektor ekonomi beroperasi) adalah mustahil untuk tutup segera dan di sini, kita juga memerlukan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amirudin berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pasukan Petugas bersama agensi dan jabatan kerajaan bagi projek inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah di Selangor.

Beliau berkata pada masa sama, kerajaan negeri akan mengemas kini inisiatif 'SELangkah,' iaitu sistem pendaftaran dalam talian untuk pengesanan kontak yang diperkenal sebelum ini bagi individu memasuki mana-mana premis di Selangor.

"Selain mengemas kini sistem itu yang bertujuan untuk memastikan rakyat sentiasa patuh pada amalan SOP ditetapkan, orang ramai juga boleh membuat aduan sekiranya ada premis yang tidak mengamalkan jarakan sosial atau tidak menyediakan cecair pensanitasi tangan," katanya.

Mengulas pasukan petugas berkenaan, Amirudin yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor, berkata kerajaan negeri akan melaksanakan inisiatif bersepadu menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dengan memberi tumpuan khusus kepada tiga kawasan di negeri itu.

Beliau berkata tiga kawasan itu ialah Petaling Jaya Selatan, Bagan Sungai Besar dan Felda Hulu Selangor kerana jumlah kes penagihan serta penyalahgunaan dadah yang tinggi dikesan di lokasi terbabit.

"Menerusi inisiatif itu, kita juga akan menggerakkan semua agensi berkaitan bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah termasuk dalam kalangan belia dan pelajar sekolah di Selangor," katanya.

Beliau berkata pasukan petugas itu juga akan berperanan mengesan sindiket dan pihak yang terbabit dalam kegiatan mengedar dadah.

"Walaupun Selangor berada pada kedudukan negeri paling rendah mencatatkan kes berkaitan penyalahgunaan dan penagihan dadah namun kita komited supaya kegiatan seperti ini dapat terus dibendung," katanya.

-- BERNAMA