SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi tempoh dua minggu kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk membentang perincian berhubung rancangan pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) 3 di Taman Kencana di sini kepada kepada jawatankuasa yang terlibat, sebelum sebarang kata putus dan kelulusan berhubung pembinaannya boleh diberikan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata kerajaan negeri tidak menolak segala bentuk kemajuan infrastruktur, namun ia haruslah seiring dengan keperluan masyarakat setempat.

"Semalam saya mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk Taman Kencana bagi menjelaskan kekeliruan berhubung projek MRT-3," katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Menurutnya pertemuan itu adalah susulan daripada mesyuarat khas beliau bersama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, MRT Corp serta jabatan dan agensi yang terlibat dalam pembinaan MRT-3.

"Saya telah memberi penerangan terperinci, garis masa serta pilihan reka bentuk stesen MRT Taman Kencana kepada wakil penduduk yang terlibat," katanya.

Beliau berkata diharapkan hasil pertemuan itu dapat meredakan kekeliruan yang berlaku kepada penduduk Taman Kencana yang terlibat dalam perancangan pembinaan projek berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Izham mendakwa kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan jajaran baharu projek MRT3 yang melibatkan kawasan Taman Kencana.

-- BERNAMA