SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menetapkan seramai 10 waris dibenar memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu yang ditetapkan untuk proses pengebumian jenazah COVID-19 bukan secara berkumpulan di tanah perkuburan Islam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kariah masjid semasa tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, untuk proses pengebumian secara berkumpulan jenazah COVID-19, hanya dua waris sahaja dibenarkan untuk memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu yang telah ditetapkan di tanah perkuburan seliaan dua pihak tersebut.

Menurut Zawawi, bagi pengebumian kariah COVID-19 seliaan masjid pula, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menetapkan beberapa tanah perkuburan berpusat bagi pengebumian jenazah dan proses pengebumian akan dilaksanakan oleh petugas kubur atau sukarelawan pertubuhan bukan Islam kerajaan (NGOI) yang mendapat tauliah pihaknya.

"Bagi pengebumian di tanah perkuburan bawah PBT, ia akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook @Zawawi Mughni, hari ini.

Zawawi berkata seramai 20 waris dan lima ahli jawatankuasa (AJK) masjid dibenarkan hadir untuk pengebumian kematian biasa bagi bacaan talkin serta tahlil selepas jenazah dikebumikan di tanah perkuburan kariah seliaan masjid.

"Untuk aktiviti menziarahi kubur keluarga atau saudara, tidak melebihi lima waris pada satu-satu masa dan dihadkan selama 30 minit sahaja," katanya.

Menurut Zawawi, untuk pengebumian kematian biasa di tanah perkuburan bersepadu seliaan PBT, kehadiran hanya 10 waris dan dibenarkan membawa imam serta pembantunya untuk bacaan talkin dan tahlil.

"Menziarahi kubur keluarga atau saudara pula tidak melebihi dua orang waris pada satu-satu masa dan diterhadkan selama 20 minit sahaja," katanya.

Jelasnya lagi, antara syarat yang perlu dipatuhi bagi mereka yang menziarahi tanah perkuburan berkenaan ialah perlu lengkap dua dos vaksin serta melakukan aktiviti ziarah pada waktu dan masa yang dibenarkan.

-- BERNAMA